Main content

Merchantrade bekerjasama dengan MATTA bagi pameran September ini

Bernama Online • ASR: RM1,350.00

KUALA LUMPUR, 28 Ogos -- Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) sekali lagi menjalinkan kerjasama dengan pengendali perniagaan khidmat wang, Merchantrade Asia Sdn Bhd, bagi penganjuran Pameran MATTA di sini bulan depan.

Ketua Pegawai Perniagaan Khidmat Wang Merchantrade, Sarveswaran Raja Gopal berkata pihaknya gembira untuk menjadi sebahagian daripada pameran pelancongan terbesar di Malaysia itu malah akan mengetengahkan tawaran hebat kepada pelanggan semasa acara tersebut.

“Orang ramai sentiasa mencari tawaran terbaik berserta promosi perjalanan dan pelancongan semasa pameran tersebut.

“Oleh itu di reruai kami, pengunjung boleh mendaftar untuk produk kami iaitu Merchantrade Money dan eForex, serta pada masa yang sama kaunter pertukaran asing kami menawarkan kadar tukaran paling kompetitif di negara ini,” katanya semasa sidang media di ibu pejabat MATTA di sini, hari ini.

Merchantrade Money merupakan kad prabayar dengan nilai dalam dompet maksimum sehingga RM10,000, disokong oleh aplikasi mudah alih yang membolehkan akses penuh pengguna pada bila-bila masa di dalam serta luar negara.

Kad itu menawarkan fleksibiliti dan akses termasuk kelebihan membayar dalam 20 mata wang berbeza serta khidmat lain antaranya tukaran langsung dan tambah nilai baki dalam aplikasi 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MATTA, Phua Tai Neng berkata pameran tahun ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini akan mengetengahkan 1,398 reruai.

“Dua dewan dikhususkan bagi destinasi domestik dan yang lain untuk antarabangsa. Dewan bagi domestik itu akan menempatkan kebanyakan reruai pejabat pelancongan negeri, dengan Johor merupakan negeri tumpuan kami kali ini memandangkan tahun depan merupakan Tahun Melawat Johor,” katanya.

Phua berkata MATTA menyasarkan jualan bernilai RM220 juta bagi acara tiga hari itu dan berharap dapat menarik 100,000 pengunjung.

“Saya menyarankan orang ramai yang merancang untuk berkunjung ke pameran ini supaya menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas demi keselesaan. Ada kemudahan stesen Transit Aliran Ringan berhampiran, dalam lima minit berjalan kaki dari PWTC,” katanya.

MATTA juga akan bekerjasama dengan Top Media Resources Sdn Bhd sebagai Panduan Realiti Berperantara rasmi sepanjang pameran itu berlangsung pada 6 hingga 8 Sept ini.

Source: http://www.bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=1761999