Main content

Sabah dipilih 'Destinasi Kegemaran Malaysia' sempena MATTA 2019

Utusan Borneo Online • ASR: RM315,253.00

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Sabah amat berbesar hati dipilih sebagai 'Destinasi Kegemaran Malaysia' bagi edisi ke-47 sempena Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) tahun ini.

Beliau menyifatkan acara itu adalah peluang terbaik untuk Sabah dipromosikan sebagai destinasi eko pelancongan utama bertaraf dunia, selain mencapai sasaran ketibaan pelancong seramai 4 juta orang pada tahun ini (2.57 juta pelancong domestik dan selebihnya dari luar negara).

"Pada tahun 2018, sektor pelancongan Sabah mencapai rekod baharu iaitu pendapatan berjumlah RM8.34 bilion dengan jumlah kedatangan 3.879 juta pelancong.

"Ia adalah peningkatan 6.6 peratus dalam pendapatan dan meningkat 5.3 peratus untuk jumlah kedatangan berbanding 2017," katanya pada pembukaan Karnival Matta 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalannya Datuk Christina Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

Shafie yang juga Menteri Kewangan Sabah turut menekankan kepentingan mencipta daya tarikan pelancongan di Sabah menerusi pelaburan berterusan dari aspek tarikan produk dan infrastruktur baharu.

Beliau merakamkan ucapan tahniah kepada MATTA di bawah kepimpinan Datuk Tan Kok Liang yang menggabungkan kesemua agensi pelancongan bagi mempromosi industri pelancongan negeri ini.

"Saya gembira melihat pelancongan Sabah sudah proaktif dalam melaksanakan produk baharu dan meningkatkan perkhidmatan serta produktiviti.

"Kerajaan Negeri Sabah akan terus menyokong transformasi ini dan kami juga sentiasa mengkaji strategi pelancongan untuk melihat bagaimana kita dapat meningkatkan lagi daya tarikan Sabah untuk pelawat dari pelbagai tempat," katanya.

 

Tambahnya, seiring pasaran pelancongan global yang kompetitif, Sabah perlu menawarkan daya tarikan menarik bagi pelancong supaya menarik mereka kembali membuat lawatan selepas pengalaman awal di negeri ini.

Pada masa sama, katanya, keperluan untuk terus membangunkan kalendar acara yang menarik dan terbaharu perlu dilaksanakan bagi membawa lebih ramai pelancong ke Sabah sepanjang tahun.

Misalnya, acara pelancongan utama di Sabah yang ada pada masa kini seperti Festival KK Jazz, Regatta Lepa-Lepa Semporna, Sabah Fest dan Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu.

Beliau juga menegaskan Kerajaan Negeri tetap komited mengembangkan sektor pelancongan untuk mewujudkan peluang ekonomi bagi perniagaan dan menjana peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Selain itu, katanya, salah satu acara utama pameran MATTA kali ini adalah pengenalan 'Cuti-Cuti Tawau' untuk mempromosikan pelancongan di pantai timur Sabah.

Katanya, pantai timur Sabah mempunyai banyak tarikan alam semulajadi yang unik serta warisan sejarah yang tidak terdapat di pantai barat.

"Terdapat juga sebuah pulau di Lahad Datu yang dipromosikan sebagai titik paling timur di Malaysia yang mana, lokasi pertama melihat matahari terbit boleh dilihat di sana," katanya.

Menurutnya, pakej pelancongan Tawau yang dilancarkan pada 13 Julai tahun lepas juga adalah salah satu inisiatif MATTA mempromosikan daerah itu sebagai hab pelancongan.

"Tawau sememangnya mempunyai apa yang diperlukan dan pelancaran pakej pelancongan akan menyumbang kepada pertumbuhan pelancongan dalam negeri dan domestik yang lebih besar," katanya.

Sehubungan itu,  Shafie menegaskan pentingnya menjalin perkongsian kuat dengan pelbagai pihak berkepentingan, sama ada melibatkan industri mahu pun persatuan pelancongan yang lain.

Katanya, melalui kerjasama itu, pihak berkaitan akan dapat menyusun idea serta sumber bagi mencipta penawaran inovatif yang dapat meningkatkan daya saing di rantau ini.

Sementara itu, Tan berkata pelancongan domestik adalah salah satu sumber utama dalam industri pelancongan yang menyumbang kira-kira 15 peratus kepada ekonomi negara.

Katanya, pelancongan domestik akan menyediakan peluang pekerjaan kepada kira-kira 3.2 juta orang di Malaysia.

"Misalnya, Karnival Matta ini akan menggalakkan perjalanan domestik dengan memperkenalkan perjalanan baharu, menarik dan segar yang direka untuk keperluan pasaran khas seperti pengembaraan, sukan, eko-pelancongan, pelancongan mewah serta pelancongan pelayaran di Malaysia.

"Pesta ini adalah peluang baik untuk pelancong menikmati pelbagai pakej pelancongan domestik dan antarabangsa yang bernilai tinggi dengan harga kompetitif," katanya.

Katanya, keputusan Matta untuk bekerjasama dengan Malaysia Airlines sebagai penerbangan rasmi sejak 2018 membolehkan persatuan itu menawarkan destinasi pelancongan yang menarik kepada pengunjung dan menjadi pilihan perjalanan pada harga berpatutan.

"Pelancong dapat menikmati diskaun sehingga 30 peratus bagi tambang penerbangan ke pelbagai destinasi tempatan dan antarabangsa dalam rangkaian Malaysia Airlines, dan pelbagai penawaran faedah perjalanannya," katanya.

Justeru, beliau yakin pihaknya yang memiliki lebih 3,500 ahli itu akan terus memperjuangkan industri pelancongan dengan mencari inisiatif berkesan bagi memenuhi keperluan pertumbuhan industri pelancongan negara.

Terdahulu, Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Ken Pan Ying On mengetuai delegasi seramai 30 peserta terdiri daripada 25 pengusaha pelancongan, dua pegendali agensi selam, dua wakil hotel dan seorang dari persatuan hotel.

Sebanyak 16 gerai mempamerkan produk pelancongan negara terdiri daripada warisan dan budaya, lawatan pulau menarik, menyelam skuba, treking hutan, mengembara melihat pelbagai jenis burung dan tarikan lain yang terkenal.

 

Source: https://www.utusanborneo.com.my/2019/03/17/sabah-dipilih-destinasi-kegemaran-malaysia-sempena-matta-2019