Taiwan Sasar 550,000 Pelancong Malaysia
- Details
- Published on Tuesday, 22 August 2017 16:00
- Hits: 2423
KUALA LUMPUR: Sasaran 550,000 pelancong Malaysia melawat Taiwan sepanjang tahun ini berada pada landasan tepat apabila 256,703 pelawat direkodkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Pengarah Biro Pelancongan Taiwan di Kuala Lumpur, Tony Wu berkata jumlah itu meningkat 19.20 peratus berbanding 215,355 orang dalam tempoh sama, tahun lalu.
Katanya, antara tarikan utama pelancong adalah Taroko Gorge yang meliputi jeram, terowong semula jadi, air terjun dan air sungai jernih, menjadikannya antara destinasi pelancongan bertaraf dunia.
"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Taiwan konsisten membawa masuk lebih ramai pelancong Malaysia khususnya pelancong Islam dengan memperkenalkan Taiwan sebagai destinasi mesra Islam.
"Berdasarkan laporan Indeks Pengembaraan Muslim Global 2017, Taiwan menduduki ranking kedua dalam kalangan 10 negara bukan Islam dilawati pelancong Islam," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat MATTA, di sini, hari ini.
Biro Pelancongan Taiwan adalah antara yang mengambil bahagian pada Pameran Pelancongan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWCT), di sini pada 8 hingga 10 September ini.
Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MATTA, Phua Tai Neng dan Ahli Jawatankuasa, Rocky Kho.
Taiwan memiliki kepelbagaian bentuk muka bumi, meliputi hutan, produk pertanian, ekologi marin dan berbasikal di sekitar Tasik Sun Moon serta kepelbagaian budaya etnik dengan adat istiadat istimewa.
Read More at https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/08/316092/taiwan-sasar-550000-pelancong-malaysia