Main content

Pengunjung Matta Fair Lebih Mudah Beli Tiket, Pakej Murah Mengikut Destinasi

BY ELRAFAEI SAPI

 

Pengunjung Matta Fair Lebih Mudah Beli Tiket, Pakej Murah Mengikut Destinasi

Destinasi Seoul, Korea Selatan antara lokasi percutian paling popular yang sering menarik perhatian pengunjung. (Gambar: Korea Tourism Organization Malaysia - Facebook)

Bagi mereka yang gemar melancong tidak kira secara ‘backpackers’ mahupun bersama keluarga dan rakan, acara Matta Fair yang diadakan pada setiap tahun sering menjadi tumpuan. Acara ini yang diadakan semula sejak 17 Mac lalu masih lagi berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur bermula jam 10 pagi sehingga 9 malam.

Hari ini adalah hari terakhir pada semua pengunjung yang masih berkesempatan untuk hadir pada acara ini untuk membeli tiket penerbangan dan pakej percutian menarik ke pelbagai destinasi di seluruh dunia. Lazimnya, acara Matta Fair menjadi tumpuan ramai kerana ia menawarkan tiket dan pakej percutian pada harga yang lebih murah dan menjimatkan.

Syarikat penerbangan Malaysia Airlines turut menawarkan diskaun sehingga 45 peratus untuk tiket penerbangan kelas perniagaan dan ekonomi menerusi acara kali ini. Sebagai contoh, tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Bangkok hanya pada RM299 untuk kelas ekonomi dan RM1,099 ke Narita, Jepun manakala harga dari RM999 sehingga RM2,399 dari Kuala Lumpur ke Saigon, Vietnam dan Mumbai, India untuk kelas perniagaan. Lebih menarik, tiket penerbangan untuk kesemua destinasi domestik pada harga RM99 sehala.

Begitu juga, syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia turut menyediakan pelbagai harga tiket penerbangan lebih murah ke pelbagai destinasi. Bagi memudahkan pengunjung mencari tiket penerbangan dan pakej pada harga yang lebih murah, penganjur kali ini membuat pembahagian ruang pameran mengikut destinasi percutian. Destinasi domestik berada di Dewan Merdeka dan Dewan 4 di tingkat 4 manakala destinasi negara Asean dan antarabangsa di Dewan 3 termasuk Dewan 1 dan 2.

 

http://www.rojakdaily.com/kaw/article/2048/pengunjung-matta-fair-lebih-mudah-beli-tiket-pakej-murah-mengikut-destinasi