MATTA Fair 2017 Sasar Jualan RM180 Juta
- Details
- Published on Thursday, 02 March 2017 17:15
- Hits: 2569
KUALA LUMPUR 1 Mac – Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menyasarkan jualan sebanyak RM180 juta sempena penganjuran MATTA Fair 2017 kali ke-43 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 17 hingga 19 Mac ini.
Presiden MATTA, Datuk Hamzah Rahmat berkata, pihaknya yakin sasaran berkenaan dapat dicapai lebih-lebih lagi dengan pengenalan Taiwan dan Perak, masing-masing sebagai Destinasi Pilihan Asia dan Malaysia tahun ini.
Katanya, jumlah sasaran berkenaan merupakan nilai yang serupa semasa MATTA Fair 2016 edisi September tahun lalu dengan unjuran pengunjung pada kali ini adalah seramai 100,000 orang.
“Kami mengambil pendekatan konservatif dan tidak mahu meletakkan sasaran terlalu tinggi disebabkan keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu selain kemunculan banyak promosi yang menawarkan pakej pelancongan pada harga yang berpatutan.
“Atas dasar itulah, kami memilih Taiwan sebagai destinasi pilihan Asia yang baharu kerana Taiwan bukan sahaja memiliki keindahan budaya dan panorama yang indah, malah rakyat Malaysia yang mengembara ke negara berkenaan dapat menikmati pelbagai kemudahan dan barangan pada harga yang berpatutan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pengumuman Taiwan sebagai destinasi pilihan Asia sempena MATTA Fair 2017 di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MATTA, Phua Tai Neng dan Pengarah Biro Pelancongan Taiwan Kuala Lumpur, Tony Wu.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu dengan kejatuhan nilai ringgit tidak menjejaskan jumlah rakyat Malaysia yang mengembara ke luar negara.
“Berdasarkan pengalaman kami sebelum ini semasa kegawatan ekonomi pada 1998 dan 2008, rakyat Malaysia masih berkemampuan untuk bercuti ke luar negara,” katanya.