Main content

Unjur Transaksi Jualan RM200 Juta MATTA Fair 2017

 

Persatuan Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), penganjur siri pameran dan jualan produk pelancongan tempatan serta asing, MATTA Fair menjangkakan acara berkenaan yang diadakan pada 17 hingga 19 Mac 2017 mampu menjana transaksi jualan sama atau melebihi daripada RM200 juta yang dicatatkan pada Mac 2016.

Ia bersandarkan kepada prestasi yang menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun dalam tempoh sama walaupun terdapat sentimen perbelanjaan yang berhati-hati dalam kalangan pelancong.

Ketua Pegawai Eksekutif MATTA, Phua Tai Neng berkata, Matta Fair peringkat nasional yang diadakan untuk siri pertama 2017 akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan dapat menarik kehadiran 100,000 pengunjung dalam tempoh tiga hari acara itu berlangsung dengan membabitkan 1,403 ruang pameran.

“Ketika ini, 1,246 ruang pameran telah disewa oleh pihak pempamer terdiri daripad ejen pelancongan tempatan, asing dan agensi pelancongan dalam negara. Kita jangkakan semua ruang pameran ini akan dapat disewakan kepada pempamer selewat-lewatnya pada penghujung Januari,” katanya selepas majlis pengundian ruang pameran Matta Fair Mac 2017 di sini, semalam.

Reference : https://www.pressreader.com/malaysia/harian-metro/20161223/282368334300368